utusan malaysia terkini
UMNO Celaka, PAS Sesat, DAP Komunis, Apakah Bezanya ?
IdaMan
UMNO Celaka, PAS Sesat, DAP Komunis, Apakah Bezanya ?
Dua insiden bercirikan samseng berlaku semalam dan menjadi perhatian rakyat seluruh negara. Di Pulau Pinang, sekumpulan orang yang sebahagiannya melibatkan pemimpin Pemuda UMNO telah merempuh pagar dan pintu serta menceroboh Dewan Undangan Negeri Pinang sebagai tanda protes terhadap ucapan ADUN Seri Delima, R.S.N Rayer yang mengatakan UMNO celaka.
Mereka ini cuba mencari Rayer yang kebetulan tidak hadir sidang DUN bagi menyataksn rasa protes dan mahunya menarik balik ungkapan yang dianggap menghina itu.
Perlakuan ala samseng itu bukan saja terlihat melalui tindakan merempuh dan menceroboh tempat persidangan DUN yang seharusnya dihormati dan dimuliakan tetapi juga sehingga memanjat meja yang dikhaskan untuk Speaker.
Di Teluk Intan pula, kempen calon DAP, Dyana Sofya di sebuah kawasan perumahan cuba diganggu oleh perlakuan samseng yang menghalangnya memasuki kawasan itu sambil menjerit-jerit dan membunyikan enjin motorsikal dengan kuat.
Ekzos yang dibunyikan dengan bingit juga cuba dihalakan kepada rombongan calon DAP itu sambil menjerit perkataan "keluar, keluar" dan "ini kawasan Melayu".
Dalam kedua-dua kejadian bercirikan samseng ini, ia nyata melibatkan Pemuda UMNO. Walaupun Khairy Jamaluddin sudah mengeluarkan kenyataan bahawa perbuatan menceroboh tempat sidang DUN itu adalah salah dan demo bantahan seharusnya dibuat di luar bangunan saja serta siasatan perlu dilakukan untuk memastikan ganggguan kempen di Teluk Intan itu betul-betul dilakukan oleh ahli Pemuda UMNO dan bukan mereka yang menyamar, imej Pemuda UMNO dan anak-anak muda yang bersama BN jelas telah tercemar.
Di ketika pihak DAP meletakkan seorang calon muda sebagai simbol mengangkat martabat golongan muda, perlakuan golongan muda yang dikaitkan Pemuda UMNO, sama ada di Pulau Pinang mahupun di Teluk Intan, adalah bertentangan sama-sekali serta memalukan.
Perlakuan itu hanya memungkinkan calon BN menerima kekalahan lebih buruk berikutan perlakuan samseng dan tidak beradab yang ditonjolkan tidak mungkin melekat positif di hati pengundi.
Sebagaimana KJ selalu menyebut, pertarungan politik haruslah dibentangkan dengan kekuatan hujah dan akal fikiran, nampaknya masih ramai di peringkat bawah dalam Pemuda UMNO yang gagal memahami serta keliru bagaimana untuk menawan hati pengundi.
Perlakuan kasar, biadap dan samseng tidak akan diterima oleh tamadun mana sekali pun. Kalau pun ada gelaran UMNO celaka yang dilemparkan, serangan balas dalam bentuk yang sama harus dilakukan.
Selain protes di luar bangunan, ADUN UMNO di DUN Pulau Pinang juga sepatutnya memainkan peranan lebih aktif dan berkesan berhujah atau mendesak Rayer menarik balik perkataan yang diucapkannya itu.
Soalnya kenapa pula ADUN UMNO di Pulau Pinang bagaikan membisu?
Merempuh pagar, menceroboh bangunan dan memanjat meja Speakar, walau betapa tinggi sekali pun tahap kemarahan,ia tetap perbuatan yang keterlaluan dan tidak boleh diterima.
Seharusnya ada tindakan lain yang lebih praktikal, munasabah dan bertamadun dilakukan.
Lagi pula, pemimpin muda UMNO tidak harus sensitif dengan ungkapan UMNO celaka atau seumpama dengannya.
Terimalah dengan lapang dada atau balas balik dengan panggilan yang serupa juga. Kita juga jangan lupa, pemimpin UMNO sendiri pernah menggelar Pas sesat dan DAP komunis.
Malah kadangkala lebih menghina seperti DAPig, PAS parti syaitan dan sebagainya. Pemimpin kedua-dua parti itu juga pernah digelar dengan berbagai-bagai gelaran yang lebih mengaibkan dan menghina.
Malah Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam ucapan terbuka pernah menyebut Pas sebagai parti sesat. Jadi kalau sekadar UMNO dipanggil celaka, relaks bro...
Antara Pas sesat, DAP komunis dan UMNO celaka tidak jauh beza daripada segi maksud mahu mengaib, memberi malu dan memberi gangguan kepada mereka ditujukan ungkapan itu. Ia sama saja antara dua kali lima dengan lima kali dua.
Begitu juga gangguan kempen, menghalang calon berjumpa pengundi dan berbangga "ini kawasan Melayu" sama-sekali tidak menggambarkan keterbukaan dan amalan demokrasi yang diamalkan.
Setelah UMNO berusia 68 tahun dan memerintah negara lebih 50 tahun, masih ada perlakuan seumpama ini tidak lebih menggambarkan kegagalan UMNO menterjemah kematangan dan ketinggian akal budi kepada ahli-ahlinya.
Pilihanraya adalah sebahagian proses demokrasi dan ia seharusnya diraikan dengan semangat keterbukaan dan persaingan yang sihat.
Mencemarkan proses demokrasi dengan amalan bercirikan samseng dan seolah-olah masih dibelenggu dengan pemikiran zaman batu bahawa kekuatan tenaga dan tubuh yang besar boleh menakluki dunia, hanya menggambarkan kemunduran yang mengaibkan.
Dalam hal ini, oleh kerana yang paling terkesan adalah Pemuda UMNO kerana anak-anak muda yang melakukannya, tidak harus pergerakan itu sekadar mengeluarkan kenyataan tidak setuju, membantah atau akan menyiasat saja, sebaliknya haruslah memastikan insiden yang memalukan dan tidak bertamadun ini tidak berulang lagi.
Perlakuan ala samseng ini tidak mungkin menambah undi dan kalau pun calon dihalang memasuki sesuatu kawasan, bukankah langit sudah lama terbuka?
#sumber
No comments:
Post a Comment