Mohd Khairuddin Aman Razali
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali memberi amaran kepada rakan komponen PR supaya tutup mulut dan berpuasa daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan kerjasama politik parti pembangkang.
Beliau menegaskan, tindakan menegur dan mengkritik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka tidak menguntungkan PR, lebih-lebih lagi yang dibuat oleh pimpinan DAP.

"Pimpinan parti mesti ambil sikap berpuasa daripada kenyataan yang tidak baik. Berpuasa lebih baik dari membuat kenyataan yang tidak baik.

"Saya suka memperingatkan bahawa PR tiada lagi langkah untuk memerintah Malaysia, syaratnya ialah perpaduan mestilah diperkukuhkan.

"Isu-isu yang bersifat sampingan, yang tidak menguntungkan PR yang dibangkitkan oleh mana-mana pimpinan parti perlu dielakkan," katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen, semalam.

Dalam pada itu, beliau juga menyifatkan kritikan terbuka terhadap Abdul Hadi sebagai satu siri serangan yang sedang giat digerakkan sejak akhir-akhir ini bukan sahaja oleh pimpinan DAP bahkan dilakukan oleh pimpinan Pas sendiri.

Beliau menegaskan tindakan mempertikaikan kewibawaan Abdul Hadi itu kini menjadi satu trend yang disyaki mempunyai agenda peribadi pihak tertentu termasuk mahu Ahli Parlimen Marang itu berundur.

"Saya rasa kenapa isu ini dibangkit sejak akhir-akhir ini adalah satu siri serangan kepada Presiden bukan hanya Lim Guan Eng, bahkan juga beberapa ahli Parlimen selain ahli Pas.

"Saya rasa ia satu agenda yang tidak membantu dalam usaha kita untuk mengukuhkan PR," ujarnya.

Beliau berkata demikian mengulas gesaan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang sebulat suara supaya Abdul Hadi dapat hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan PR pada masa akan datang.

[ARTIKEL BERKAITAN: DAP gesa Hadi hadir mesyuarat PR]

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin menambah, isu ketidakhadiran Presiden Pas itu tidak timbul kerana Pas sentiasa menghantar wakil bagi memastikan mesyuarat Majlis Pimpinan PR berjalan lancar.

"Dalam kaedah parti ini, sebarang keputusan bersifat jama', perkara besar-besar melainkan melibatkan keputusan segera diputuskan oleh Presiden.

"Jadi kalau sekiranya yang tidak hadir mesyuarat itu Presiden, diwakilkan kepada mana-mana ahli yang diwakilkan, setiausaha agung dan sebagainya," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Desakan DAP ada niat lain, dakwa Nik Abduh]
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan Abdul Hadi baru-baru ini ketidakhadiran beliau disebabkan masalah kesihatan.
Shamsul berkata, PKR juga mengalu-alukan komitmen Pas untuk terus bekerjasama dalam pakatan pembangkang itu.

"Saya fikir dari segi komitmen beliau sebagai Presiden Pas malah komitmen Pas sendiri dalam mesyuaratnya baru-baru menyatakan pendirian sepakat untuk terus lagi bersama PR.

"Kita mengalu-alukan komitmen ini dan saya yakin selepas ini, pelbagai program di Parlimen tentulah akan ada mesyuarat yang berterusan.

"Saya tidak nampak itu akan berlakunya masalah yang besar dalam PR," katanya lagi.