utusan malaysia terkini
[Terkini] Pemain Drum Kumpulan Search, Yazid Ahmad Semakin Uzur
IdaMan
[Terkini] Pemain Drum Kumpulan Search, Yazid Ahmad Semakin Uzur
Yazid Ahmad enggan menyusahkan teman-temannya yang bimbang tentang penyakit kegagalan buah pinggang yang dialaminya sejak enam tahun lalu |
Ditemani oleh dua anaknya, Yazid yang kelihatan susut tetap mengagahkan diri untuk memeriahkan majlis berkenaan biarpun hadir dengan menggunakan tongkat malah sempat mengadu mengalami kesakitan pada bahagian belakang badannya yang membuatkan dia berasa tidak selesa.
"Sekarang ini kalau saya bercakap sedikit mesti cepat penat dan akan batuk tanpa henti," luahnya ketika diiringi ke ruang pejabat Clixster Mobile untuk ditemuramah bersama media.
Jelas kelihatan pada riak wajahnya yang menanggung kesakitan akibat penyakit kegagalan buah pinggang sejak enam tahun lalu, namun dia yang berusia 52 tahun itu tetap melayan setiap soalan wartawan dengan baik biarpun suaranya tersekat-sekat.
Sesekali Yazid kelihatan sebak dan menitiskan air mata apabila mengenangkan nasib yang menimpanya namun terharu dengan sokongan daripada pelbagai pihak terutama keluarga, teman baik dan peminat di seluruh negara.
"Alhamdulillah, syukur apabila masih ramai yang bermurah hati dan tampil membantu mengurangkan beban dan tidak kurang juga sentiasa memberikan kata-kata semangat dan sebagainya.
"Sampai satu peringkat saya tidak mahu menyusahkan mereka dan saya menjadi seorang yang suka mengasingkan diri daripada orang lain," katanya.
Jelas Yazid, dia lebih suka menyendiri kerana tidak mahu orang lain melihat penderitaan yang sedang ditanggungnya dan apabila bersendirian ia memberikannya ketenangan.
Jelas Yazid lagi, setiap bulan dia memerlukan sekurang-kurangnya RM2,800 untuk menampung kos melakukan rawatan hemodialisis yang perlu dilakukan empat kali sehari selama empat jam pada setiap sesi di rumah.
"Setakat ini Alhamdulillah duit simpanan dan bantuan daripada keluarga dan rakan-rakan membolehkan saya membayar kos rawatan tersebut tetapi saya tidak boleh selamanya menyusahkan mereka.
"Jika kesihatan mengizinkan saya ingin meneruskan projek Drum Clinic Tour bagi mengajar pelajar sekolah bermain drum dengan betul dan hasil daripada program tersebut dapatlah saya buat belanja perubatan," katanya.
Sementara itu, Yazid menganggap penderitaan penyakit buah pinggang yang dihidapinya itu sebagai satu bentuk penyucian dosa yang pernah dilakukannya sebelum ini.
Yazid, berkata, biarpun terpaksa menanggung kesakitan setiap hari namun dia reda dan tetap bersemangat meneruskan kehidupannya bagi melawan penyakit yang dihidapinya itu.
Pengerusi Ekskutif Kumpulan Clixster Mobile Group, Datuk Megat Razman Megat Khairuddin dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin menyampaikan sumbangan kepada Yazid |
No comments:
Post a Comment