utusan malaysia terkini
[Panas] Mahkamah Iktiraf Beli Undi Dalam Pilihan Raya !
IdaMan
[Panas] Mahkamah Iktiraf Beli Undi Dalam Pilihan Raya !
| Bersih kesal mahkamah iktiraf beli undi dalam pilihan raya [gambar fail] |
Pengerusinya Maria Chin Abdullah berkata mahkamah agung tersebut tidak sepatutnya membatalkan dua petisyen pilihan raya terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas alasan teknikal.
"Secara dasarnya, ini boleh memberi makna mereka yang bertanding boleh membeli undi sebelum hari penamaan," katanya kepada Malaysian Insider.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada Isnin yang mengesahkan menteri dalam negeri itu ialah pemenang sah kerusi Parlimen Bagan Datoh dalam pilihan raya umum tahun lalu (PRU13).
Mahkamah menetapkan Zahid tidak melanggar Seksyen 32(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana tuduhan rasuah itu berlaku sehari sebelum PRU13.
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mempengerusikan panel lima hakim, sebulat suara menolak rayuan dikemukakan calon PKR Madhi Hassan dan seorang pemilih berdaftar, Azmi Sulaiman.
Beliau berkata, kedua-dua perayu menyatakan 19 April, 2013 sebagai tarikh Zahid didakwa melakukan rasuah sebagai seorang calon pilihan raya.
Bagaimanapun, katanya, 19 April adalah tarikh menjelang penamaan calon bagi pilihan raya umum pada 2013 dan Zahid masih belum menjadi calon pada tarikh berkenaan. Kempen PRU13 bermula 20 April hingga 4 Mei, 2013.
Pada 19 Februari, 2014 Hakim Pilihan Raya Datuk Hasnah Mohammed Hashim membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan Zahid tuduhan rasuah yang dibawa oleh pempetisyen tidak disokong bukti kukuh.
Madhi dan Azmi memfailkan petisyen tahun lepas mendakwa Zahid melakukan rasuah sebagai seorang calon pilihan raya, termasuk membeli undian dan membelanjakan lebih daripada jumlah yang ditetapkan, iaitu RM200,000, ketika berkempen.
Madhi mendakwa Zahid terlibat dalam rasuah dengan memberikan wang tunai RM100 dan lima kampit beras yang tertera logo BN menerusi seorang bernama R Supramaniam dan seorang lagi bernama Mustofa Saifudin, pemilih berdaftar di kawasan itu.
Azmi mendakwa Zahid melantik kira-kira 24,000 pekerja menerusi pembayaran wang tunai di samping memberi beras kepada individu yang bertugas dalam kawasan itu semasa pilihan raya.
Zahid memenangi kerusi Parlimen Bagan Datoh pada PRU13 dengan 17,176 undian, menewaskan Madhi yang mendapat 15,068 undi.
Maria berkata, petisyen pilihan raya ialah remedi undang-undang yang ada untuk calon yang kalah dan pengundi yang terkilan. “Ia adalah komponen penting bagi sebuah pilihan raya yang bebas dan adil.
Bagaimanapun, undang-undang petisyen pilihan raya sedia ada ialah suatu kerumitan teknikal yang mengakibatkan sebuah hak ilusi," katanya.
Maria berkata, keadaan yang menyedihkan ini bukan fenomena baharu tetapi hasil undang-undang yang sangat ketat berkaitan petisyen pilihan raya selama bertahun-bertahun.
Sistem pilihan raya Malaysia yang lemah ini dijelaskan dengan lebih lanjut dalam Laporan Tribunal Rakyat yang dikeluarkan pada Mac.
Katanya, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan kehakiman bertanggungjawab atas keadaan ini.
"Kegiatan membeli undi makin menjadi-jadi dan ramai yang boleh bertindak dengan sewenang-wenangnya kerana agensi penguatkuasaan kita membenarkan mereka melepaskan diri daripada tindakan undang-undang atas dasar teknikal.
"Kami, rakyat, mengharapkan keadaan yang lebih baik. Kami layak untuk mendapatkan yang lebih baik, Kita hanya boleh berharap kepada diri kita sendiri untuk memastikan pilihan raya bebas dan adil," katanya.
No comments:
Post a Comment