Siew Fook dan Dayana beramah mesra ahli PR yang turut serta dalam Majlis Berbuka Puasa PR Negeri Sembilan. Siew Fook dan Dayana beramah mesra ahli PR yang turut serta dalam Majlis Berbuka Puasa PR Negeri Sembilan.
SEREMBAN - Pembabitan golongan muda terutamanya mereka yang berketurunan Melayu dan beragama Islam di dalam DAP membuktikan keterbukaan anak muda terhadap parti itu semakin baik.
Bekas calon Pilihan Raya Kecil  (PRK) Telok Intan, Dyana Sofya Mohd Daud berkata, bagaimanapun penglibatan anak muda lain dalam DAP bukan menggadaikan maruah Islam itu tetapi sebaliknya demi prinsip dan perjuangan parti yang dibawa.

“Sejak saya menyertai DAP ini, identiti Islam saya tidak hilang. Saya berketurunan Melayu dan Islam adalah agama saya. Jadi ia bukan satu perkara yang perlu dipolemikkan,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Berbuka Puasa Pakatan Rakyat (PR) Negeri Sembilan dengan Media, di sini, kelmarin.

Katanya, sehingga kini, sudah ramai generasi muda yang mempunyai latar belakang berbeza menunjukkan minat menyertai DAP.

“Tidak kira bangsa, dan agama, mereka sudah mula memahami akan perjuangan serta prinsip yang dibawa dalam parti ini.

“Memang kini, saya dan pemimpin lain mencari lebih ramai lagi rekrut-rekrut muda kerana dalam parti inilah suara serta idea kami didengar.

“Peluang 'kami' jauh lebih cerah berbanding berada dalam Umno yang tradisi, kepercayaan serta budaya lapuk,” katanya.

Ditanya pembabitan Syefura Othman, 25, dalam DAP, kata Dyana, pembabitan anak muda baru seperti Syefura amat digalakkan.

“Saya sendiri pun tidak mengenali beliau pada awalnya, tetapi selepas berjumpa dalam program sama dan berjumpa di Teluk Intan, kami mulai kenal antara satu sama lain.

“Ramai pemimpin DAP adalah dalam kalangan yang masih muda, dan ini menggambarkan anak muda diterima serta diberi peluang mencurahkan idea dalam mengukuhkan akan perjuangan parti,” katanya.